Sabtu, 30 Mei 2015 | 10:57pm

Pelajar khayal dalam parti liar ditahan

KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah. - Foto Ghazali Kori
KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar sekolah menengah antara tujuh ditahan ketika leka menari dalam parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Imbi, di sini awal pagi hari ini.

Dua pelajar Tingkatan Empat dan seorang Tingkatan Lima itu ditahan bersama empat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata semua pelajar dari sekitar ibu negara dan Shah Alam, Selangor itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dibuat.

Katanya, ketika serbuan semua pelajar berusia antara 16 hingga 21 tahun itu berada dalam keadaan khayal.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua wanita dan seorang lelaki daripada tujuh yang ditahan adalah pelajar sekolah, manakala selebihnya adalah pelajar IPT iaitu tiga wanita dan seorang lelaki. Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif metaphetamine," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainol berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai penganjur parti berkenaan dan merampas 16 paket kecil berisi syabu dan satu bungkusan berwarna perang dipercayai ganja.

"Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah, malah dia positif metaphetamine. Semua yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan.

"Semua pelajar ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala penganjur parti itu disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama," katanya.

Berita Harian X