Khamis, 14 Mei 2015 | 10:06pm

Dua beranak maut kereta terbabas masuk longkang

KUANTAN: Dua beranak maut manakala seorang lagi parah selepas Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang konkrit dalam satu kemalangan di Kilometer 330 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Raub petang tadi.

Pemandu kereta terbabit, Firman Imran Alias, 21, dan bapanya, Alias Riffin, 52, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang, kakak kepada Firman iaitu Nur Fasihah, 23, patah kaki kiri dan cedera di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Zahari Wan Busu, berkata kemalangan berlaku 2.20 petang semasa keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah bandar Raub menghala ke Kuala Lipis.

"Sebaik tiba di tempat kejadian kereta yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan sebelum melanggar longkang konkrit.

"Akibat kemalangan itu dua daripada mangsa mati di tempat kejadian manakala penumpang belakang yang parah itu dihantar ke Hospital Raub dan akan dirujuk ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan kemalangan itu, polis mengambil sampel darah pemandu untuk ujian dadah dan alkohol.

"Mayat semua mangsa yang berasal dari Kampung Kemubu, Kuala Krai, Kelantan itu dibawa ke hospital yang sama untuk dibedah siasat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X