Selasa, 12 Mei 2015 | 10:59am

Polis tahan lelaki, rampas dadah, pistol

KETUA Polis Perak, Datuk Osman Salleh (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah seberat 7.478 kilogram bernilai RM374,000 pada sidang media di IPK. - Foto Yahya Zainuddin
KETUA Polis Perak, Datuk Osman Salleh (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah seberat 7.478 kilogram bernilai RM374,000 pada sidang media di IPK. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dan merampas dadah seberat 7.478 kilogram bernilai RM374,000 serta merampas sepucuk pistol dalam serbuan di Taman Desa Rishah Indah, di sini.

Dalam serbuan jam 4.40 petang pada 7 Mei lalu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan itu dan menemui 35 bungkusan plastik yang mengandungi dadah dipercayai heroin di bahagian dapur rumah berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, polis turut menemui senjata api jenis Revolver .38 serta beberapa peluru dan kelongsong.

"Lelaki yang ditahan itu juga dipercayai adalah ahli kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Devan yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terutama pengedaran dadah sekitar Ipoh dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk samun dan mencederakan orang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Osman berkata, polis juga menemui dua kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang pada awal tahun ini dan tahun lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Beliau berkata, suspek direman hingga 14 Mei ini untuk membantu siasatan.

Berita Harian X