Isnin, 11 Mei 2015 | 11:04pm

Tiga maut, seorang parah nahas dekat Papar

KEADAAN lori tiga tan yang terhumban ke dalam gaung mengakibatkan tiga terbunuh di Jalan Keningau-Kimanis, Papar. - Foto NSTP
KEADAAN lori tiga tan yang terhumban ke dalam gaung mengakibatkan tiga terbunuh di Jalan Keningau-Kimanis, Papar. - Foto NSTP

PAPAR: Tiga maut manakala seorang parah selepas lori tiga tan dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 40 Jalan Kimanis-Keningau dekat sini, petang tadi.

Ketika kejadian jam 5.15 petang itu, lori terbabit dipercayai terbabas di laluan menuruni bukit sebelum merempuh tiang elektrik di tepi jalan, lalu terhumban ke gaung sedalam kira-kira 25 meter.

Mangsa yang maut ialah pemandu lori, Mohd Radzai Saad, 51; Junaisham Ehing, 24; dan Fatimah Jalbun, 29, manakala mangsa yang cedera parah, Abdul Esmin Jalbun, 30.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian lori terbabit dalam perjalanan dari Keningau ke Kota Kinabalu, sebelum dipercayai hilang kawalan berhampiran Pejabat Taman Negara di sini.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Abd Rakman, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Dunstan Peter, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.54 petang sebelum menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera yang tiba di lokasi.

Katanya, semua mangsa dibawa naik oleh anggota bomba sebelum diserahkan ambulans.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X