Khamis, 7 Mei 2015 | 12:16am

Premis nombor ramalan disamun 4 lelaki

JOHOR BAHRU: Sebuah premis menjual nombor ramalan kerugian RM50,000 selepas disamun empat penjenayah dalam kejadian di Jalan Badik 23, Taman Puteri Wangsa di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, premis terbabit diserbu oleh kumpulan penjenayah itu dengan seorang daripada mereka membawa tukul besi panjang, manakala dua lagi membawa dua objek menyerupai pistol sebelum mengacu ke arah pekerja kaunter.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata suspek yang membawa tukul besi itu kemudian memecahkan cermin kaunter, sebelum memanjat masuk ke dalam kaunter berkenaan bersama seorang lagi rakannya.

"Suspek yang berada dalam ruangan kaunter itu kemudian memasuki pejabat sebelum mengarahkan seorang pekerja wanita untuk membuka peti besi dan mengambil wang tunai berjumlah RM50,000," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sulaiman berkata, semua lelaki itu yang memakai topeng ski mengambil masa kurang dari enam minit untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

Katanya, ketika kejadian terdapat lima pekerja wanita yang sedang bekerja di premis berkenaan dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan.

Berita Harian X