Isnin, 27 April 2015 | 4:15pm

Penganggur dipenjara curi makanan dan mandian

KUALA LUMPUR: Padah mencuri barangan makanan dan mandian bernilai RM371.90 dari sebuah pasar raya, seorang penganggur dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Choong Seng, 36, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan Tan dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia tidak membayar denda itu.

Tan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri 20 paket coklat Cadbury, empat botol sabun, 10 botol syampu dan dua helai kemeja-T di pasar raya berkenaan, Sinar Kota, Jalan Silang, di sini, pada 4.45 petang semalam.

Dia yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, Tan ditangkap selepas gagal menunjukkan sebarang resit pembelian ketika diperiksa pengawal keselamatan pasar raya itu.

Ketika rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan, tetapi Pegawai Pendakwa Insp Zuraimi Kamarozzaman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan mengambil kira tertuduh pernah memiliki rekod lampau bagi satu kes samun dan dua kes dadah. - BERNAMA

Berita Harian X