Khamis, 16 April 2015 | 12:52pm
MANGSA kes bunuh, Nursyafikah Ahmad Ismail. - Foto Adnan Ibrahim
MANGSA kes bunuh, Nursyafikah Ahmad Ismail. - Foto Adnan Ibrahim

Lelaki bunuh bekas tunang ditahan

JOHOR BAHRU: Polis Johor menyelesaikan kes bunuh seorang wanita di Kluang selepas menahan bekas tunangnya yang cuba meloloskan diri ke negara jiran di Kota Tinggi, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata suspek ditahan kira-kira jam 10 malam ketika sedang menunggu bot untuk lari ke negara jiran menggunakan laluan haram.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang 10 April lalu, Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, kerani stor, mati dipercayai ditikam bekas tunangnya di kawasan letak motosikal di pasar raya tempat mangsa bekerja.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kluang akibat kecederaan parah di kepala dan rusuk kiri.

Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek bertengkar dipercayai berkaitan hubungan mereka yang terputus sejak enam bulan lalu.

Suspek dikatakan memujuk mangsa kembali bersama walaupun mangsa sudah bertunang dengan orang lain sejak sebulan lalu.

Berita Harian X