X
Ahad, 12 April 2015 | 3:00pm
MANGSA mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk kiri dalam kejadian tikam di Pasaraya Econsave Kluang dua hari lalu. - Foto Adnan Ibrahim
MANGSA mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk kiri dalam kejadian tikam di Pasaraya Econsave Kluang dua hari lalu. - Foto Adnan Ibrahim

Pemuda tikam bekas tunang giat diburu

KLUANG: polis sedang giat memburu seorang pemuda yang disyaki menikam gadis bekas tunangnya di sini dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari, berkata pihaknya percaya suspek yang berusia lingkungan 20-an masih berada di negeri ini.

"Setakat ini hanya seorang suspek yang dikenal pasti terlibat dan polis sedang berusaha untuk memberkasnya," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata pihak polis sudah mempunyai petunjuk dan berharap dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

Siasatan kes dilakukan dari pelbagai sudut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam dan di luar pasar raya tempat berlaku kejadian, katanya.

Mohd Roze berkata laporan bedah siasat mengesahkan punca mangsa meninggal adalah disebabkan tusukan pisau di rusuk kiri dan terkena paru-parunya.

Beliau berkata ia merupakan kes bunuh bermotifkan dendam serta cemburu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pihak polis.

Mangsa Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, dipercayai ditikam oleh bekas tunangnya kerana merasa cemburu mangsa mempunyai pengganti dan bakal berkahwin tidak lama lagi. - BERNAMA

Berita Harian X