Rabu, 1 April 2015 | 10:33am

Dua pemandu, kelindan maut nahas dua lori

Bomba terpaksa mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan tiga mangsa nahas membabitkan dua lori dan treler di Kilometer 221.3 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 5.15 pagi tadi. - Foto NSTP
Bomba terpaksa mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan tiga mangsa nahas membabitkan dua lori dan treler di Kilometer 221.3 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 5.15 pagi tadi. - Foto NSTP

ALOR GAJAH: Dua pemandu dan seorang kelindan maut dalam kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah treler di Kilometer 221.3, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini, kira-kira jam 5.15 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu lori 10 tan membawa muatan sayur, Salamat Nawar, 54, dan kelindan, Ferdi Minune, 35, serta pemandu sebuah lori tiga tan Ahmad Fauzi Morad, 46, mati di tempat kejadian.

Difahamkan, lori dipandu Salamat dari arah Kuala Lumpur hilang kawalan lalu merempuh treler muatan besi dipandu lelaki berusia 47 tahun di lorong kiri menyebabkannya tersepit bersama kelindan.

Sejurus selepas itu, lori tiga tan dipandu Ahmad Fauzi dari arah sama merempuh bahagian belakang lori 10 tan dipandu Salamat menyebabkan pemandunya tersepit dan mati di tempat kejadian.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Rembau tiba bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan lori masing-masing yang remuk.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika ditemui di lokasi kejadian berkata ketiga-tiga mangsa yang parah di kepala dan anggota badan dan disahkan mati di tempat kejadian.

"Semua mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X