Isnin, 23 March 2015 | 1:03pm

Pemilik agensi pembantu rumah didakwa perdagang warga Indonesia

MELAKA: Seorang wanita pemilik agensi pembantu rumah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia, Januari hingga Julai tahun lepas.

Too Siew Hoon, 43, yang berasal dari Ujong Pasir di sini didakwa memperdagangkan Selviana Taneo, 32, bagi maksud ekploitasi kerja secara paksa tanpa permit kerja yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No 61, Jalan PJ25, Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir di sini antara jam 7 pagi hingga 11 malam, antara 20 Januari hingga 30 Julai tahun lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda maksimum RM500,000.

Hakim Ahmad Sazali Omar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam Markhan Singh. - BERNAMA

Berita Harian X