Jumaat, 6 March 2015 | 8:41pm

Sekumpulan lelaki rompak klinik di Alam Damai

KUALA LUMPUR: Sebuah klinik swasta disamun sekumpulan lelaki bersenjata parang di Alam Damai, Cheras, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, empat lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z dan Yamaha RXZ berhenti di hadapan klinik 24 jam itu sebelum dua daripada mereka bersenjata parang masuk dan mengacukan senjata itu ke leher jururawat yang bertugas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata suspek kemudian menarik mangsa ke peti simpanan wang dan mengambil wang hasil perkhidmatan klinik berkenaan.

"Seorang lagi suspek pula bertindak mengacukan parang ke leher pengawal keselamatan sebelum memukul mangsa yang juga warga Nepal di bahagian muka.

"Suspek kemudian merampas telefon bimbit milik pengawal keselamatan itu selain turut merampas beg tangan milik seorang lagi jururawat sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Zainuddin berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek memakai topi keledar tanpa penutup muka selain memakai sarung tangan ketika melakukan jenayah terbabit.

"Hanya dua suspek dipercayai warga tempatan yang memasuki premis berkenaan manakala dua lagi berada di motosikal yang nombor pendaftarannya tidak pasti," katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya menunggu salinan rakaman enam kamera litar tertutup (CCTV) untuk tindakan selanjutnya berikutan tiada cap jari suspek di klinik itu.

"Kerugian keseluruhan termasuk beg tangan jururawat yang mengandungi wang tunai RM300, power bank dan buku novel serta telefon bimbit pengawal keselamatan dianggarkan RM2,300.

"Pengawal keselamatan yang mengalami kecederaan di pipi kanan itu dirawat oleh doktor klinik terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X