Selasa, 24 Februari 2015 | 4:31pm

Bekas pengarah syarikat bebas tuduhan palsu dokumen

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Noorazman Adnan, 58, di akhir kes pendakwaan.

Ketika membacakan keputusan, Nurul'Ain berkata berdasarkan keterangan saksi-saksi sepanjang perbicaraan, terdapat keterangan yang menunjukkan penyiasatan yang berat sebelah dan banyak 'kelompongan'.

"Terdapat terlalu banyak kelompongan dalam rantaian keterangan pihak pendakwaan, jelas di sini pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa pertuduhan itu boleh dikaitkan dengan tertuduh dalam kes ini," katanya.

Noorazman, yang merupakan bekas pengarah syarikat pengendali stesen minyak Intelligent Partner, didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank cawangan Pusat Bandar Damansara di sini antara pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang, 23 Mac 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Selain itu Nurul'Ain berkata pihak pendakwaan juga telah gagal membuktikan siapa yang meniru tandatangan pengadu, Mohd Fazzrul Amri Abdul Aziz, 31, dan rantaian kes pendakwaan turut terputus serta contoh tandatangan yang dihantar ke Jabatan Kimia tidak mengikut prosedur sekali gus menjadi prejudis terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Baljit Singh Sidhu. - BERNAMA

Berita Harian X