Sabtu, 21 Februari 2015 | 6:57pm

Seorang pemimpin PKR, aktivis pelajar ditahan ketika kempen bebas Anwar

Aktivis Adam Adli (tengah) diiringi anggota polis berpakaian preman ditahan selepas menghadiri protes #KITALAWAN di luar pekarangan pusat membeli belah SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Aktivis Adam Adli (tengah) diiringi anggota polis berpakaian preman ditahan selepas menghadiri protes #KITALAWAN di luar pekarangan pusat membeli belah SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PKR dan aktivis pelajar ditahan polis pada satu perhimpunan menyokong kempen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari hukuman penjara di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, hari ini.

Mereka yang ditahan ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa serta pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang digantung pengajian, Adam Adli.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut hadir dan memberi ucapan pada mulanya cuba ditahan pihak polis ketika tercetus ketegangan susulan penangkapan Adam.

Bagaimanapun, Nik Nazmi dibebaskan selepas pihak berkuasa memberi kata dua meminta supaya semua penyokongnya yang berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, beredar.

Sementara itu, Fariz dan Adam yang ditahan pada jam 5.55 dan 5.25 petang tadi kemudian dibawa ke Lokap Polis Berpusat di Balai Polis Jinjang.

Terdahulu, kedua-duanya yang ditahan dilihat dibawa ke IPD Dang Wangi oleh beberapa anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad memaklumkan kedua-duanya itu ditahan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan.

Polis katanya turut tidak menolak kemungkinan akan menahan lebih ramai lagi individu yang terbabit dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata, ini kerana didapati beberapa individu yang memberi ucapan pada perhimpunan didapati melakukan kesalahan berkaitan hasutan.

Antara individu lain yang hadir, anak kedua Anwar, Nurul Nuha.

Berita Harian X