Jumaat, 20 Februari 2015 | 6:29pm

Lelaki Vietnam ditahan kes bunuh rakan senegara

KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan rakan senegaranya di Perhentian Bas Ulu Tiram di sini hari ini.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang operator pengeluaran lelaki, Do Quang Tuyen, 28 di Kawasan Perindustrian Kampung Lukut, Batu Ampat di sini yang meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Kota Tinggi petang semalam akibat cedera parah ditikam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman, berkata suspek yang juga bekas rakan sekerja mangsa berusia 20 tahun, ditahan kira-kira 9.50 pagi tadi di perhentian bas itu.

"Suspek kini telah dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, penahanan dibuat susulan soal siasat yang dijalankan terhadap lima rakan serumah mangsa pada pukul 5 dan 6 petang semalam.

- BERNAMA

Berita Harian X