Rabu, 11 Februari 2015 | 8:42pm

Polis tahan tiga beranak terbabit kes curi di surau

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sepang, Mohd Iqbal Ibrahim (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas hasil tangkapan Geng Bella Aziah yang terbabit kes curi di surau kompleks beli belah dan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang ketika sidang media di Ibupejabat Polis Dearah Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Tiga beranak yang dikenali sebagai "Bella Aziah" dipercayai terlibat dalam kes mencuri di surau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan pusat beli-belah dengan berpura-pura menunaikan solat, ditahan polis setelah empat tahun diburu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd Yusof Awang berkata, polis percaya penahanan tiga suspek itu di rumah mereka di Taman Hulu Langat Jaya, Cheras pada Khamis lepas berjaya menyelesaikan kira-kira 18 kes kecurian yang berlaku di surau R&R di kawasan Lembah Klang dan juga IOI Mall Putrajaya.

Suspek yang terlibat berusia antara 23 hingga 47 tahun adalah sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka, katanya.

Pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata modus operandi kumpulan itu ialah isteri atau anak perempuan akan berpura-pura menunaikan solat yang kemudiannya mengambil beg tangan mangsa sebelum keluar dan menuju ke kereta yang dipandu oleh suspek lelaki.

"Polis juga menemui barangan bernilai kira-kira RM50,000 iaitu gajet pelbagai jenis jenama seperti telefon pintar, komputer riba, alat pengecas mudah alih, kamera, barangan kemas dan jam tangan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan itu mencuri dan menjual barangan curi dan kembali 'aktif' apabila barangan yang dicuri habis dijual.

Mohd Yusof berkata pasangan suami isteri juga didapati positif ujian dadah.

Beliau berkata tiga beranak itu ditahan reman selama tujuh hari yang tamat esok (12 Feb) untuk siasatan. - BERNAMA

Berita Harian X