Isnin, 19 Januari 2015 | 4:12pm

Dua rakan mengaku tidak bersalah cederakan penghantar surat

KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang penghantar surat Selasa lepas.

Pemandu teksi, Lee Su Wei, 43, dan penyelia pekerja pembinaan Chan Chee Chong, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan Hiu Hoe Yih, 44, dengan menggunakan sebilah pisau di lorong Chow Kit 3, Jalan Chow Kit di sini pukul 7.30 malam pada 13 Jan lepas.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin berserta syarat mereka dilarang menghampiri mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Feb depan untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka tidak boleh mengganggu saksi kes dan tidak boleh terlibat dalam kesalahan jenayah ketika dalam tempoh jaminan.

Ketika rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan Lee, tidak mempunyai pendapatan tetap manakala Chan pula perlu menanggung keluarga. - BERNAMA

Berita Harian X