Khamis, 8 Januari 2015 | 8:35pm

Polis tahan pasangan kekasih, rampas 4 pistol, dadah

KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan senjata api yang dirampas di Taman Ria, Sungai Petani pada sidang media di IPK Kedah di sini, hari ini. - Foto Amran Hamid
KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan senjata api yang dirampas di Taman Ria, Sungai Petani pada sidang media di IPK Kedah di sini, hari ini. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas empat pucuk pistol, sejumlah peluru serta menahan dua suspek dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Ria, Sungai Petani pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata berkata dua suspek yang ditahan kira-kira 8 pagi itu adalah lelaki tempatan berumur 50 tahun yang juga pengedar dadah dan teman wanitanya warga Thailand berumur lewat 20-an.

"Hasil tangkapan, polis menemui empat pucuk pistol, Revolver .22 Astra Unctay CIA, SA Guernica, sepucuk pistol automatik jenis Lic Excl Walther Mod. PP CAL 7.65mm dan dua pucuk pistol automatik jenis Baretta," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas seunit penyerap bunyi pistol, 85 butir peluru jenis 9mm Luger, 9mm Thai Arms dan 22mm.

Menurut Zamri, turut dirampas dalam serbuan itu adalah dadah jenis syabu bernilai RM24,000 dan wang tunai bernilai RM32,000 serta sebuah kereta Toyota Estima yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Zamri berkata, polis percaya lelaki berkenaan terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Sungai Petani dan turut menyewa senjata api kepada penjenayah.

Hasil siasatan menunjukkan lelaki itu juga memiliki rekod jenayah lampau kerana pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 kerana terlibat dalam jenayah keganasan, manakala teman wanitanya tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis yakin dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah dan pemerdagangan serta penyewaan senjata api kepada penjenayah.

Beliau berkata, pasangan itu telah ditahan direman bermula 7 hingga 12 Januari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zamri juga berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki, Tan Kooi Tiew (730402-02-5257) di alamat No 9 Pekan Tunjang dekat sini bagi membantu siasatan.

"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai lelaki itu, mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat DSP Mohd Naim Hasmawi di talian 019-5728884 atau menghubungi balai Polis terdekat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis merampas dua senjata api buatan sendiri kelmarin dan semalam menerusi Ops Cantas Khas di Sungai Tiang, Pendang dan Kupang, Baling.

Katanya, seorang lelaki berumur 50-an ditahan kira-kira 5.30 pagi kelmarin yang membawa kepada rampasan selaras senapang buatan sendiri dengan lebih 80 butir peluru besi.

Lelaki itu, seorang penoreh getah kini direman sehingga esok, mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada tahun 1992.

"Bagi kes kedua kita tahan suspek lelaki berumur 30-an yang juga penagih dadah kira-kira pukul 7.30 pagi semalam di Kupang, Baling dan merampas selaras senapang buatan sendiri. Beliau direman sehingga 12 Januari ini," katanya.

Zamri berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman 14 tahun penjara dan enam sebatan.

Katanya, bagi kesalahan memiliki peluru kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun.

- BERNAMA

Berita Harian X