Ahad, 4 Januari 2015 | 8:49pm

Pekerja syarikat cari gali maut nahas motosikal berkuasa tinggi

KUALA NERUS: Seorang pekerja syarikat cari gali minyak maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya hilang kawalan selepas merempuh sebuah lori di Kampung Gemuroh, Tepuh di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari itu, Wan Mohdzhar Wan Johar, 52, berasal dari Besut sedang dalam perjalanan dari Sungai Tong menghala ke Kuala Terengganu.

Mangsa dipercayai terbabas akibat cuba mengelak lori berkenaan yang membuat pusingan U secara tiba-tiba.

Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pemandu lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - BERNAMA

Berita Harian X