Sabtu, 29 November 2014 | 4:01pm
AHLI keluarga mangsa, V Bathmanathan, 36, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilimeter 27.1 Lebuhraya Seremban - Port Dickson ketika berada di perkarangan bilik mayat Hospital Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria
AHLI keluarga mangsa, V Bathmanathan, 36, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilimeter 27.1 Lebuhraya Seremban - Port Dickson ketika berada di perkarangan bilik mayat Hospital Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

1 maut, 2 cedera nahas di Lebuhraya Seremban-PD

PORT DICKSON: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua Proton Iswara di KM27.1, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), dekat sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Zulkifli Adamsah, berkata dalam kejadian pada 6.45 pagi itu, kereta yang dipandu V Bathmanathan, 36, dari arah Seremban menghala ke Port Dickson terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

"Sebuah lagi kereta dari arah sama telah melanggar kereta mangsa...akibat daripada pelanggaran itu, Bathmanathan yang cedera parah di kepala dan badan, mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

Zulkifli berkata, rakan mangsa, MN Nagaraj, 27, yang cedera ringan di muka menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

Pemandu sebuah lagi kereta, Muhammad Hazim Amiril, 24, seorang anggota tentera, patah paha kanan dan dua tulang rusuk turut menerima rawatan di hospital sama, katanya.

Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terlibat remuk di bahagian hadapan.

Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

- BERNAMA

Berita Harian X