Isnin, 17 November 2014 | 7:40pm

Remaja maut rempuh pagar jambatan

KEADAAN kenderaan mangsa remuk selepas merempuh pagar sebuah jambatan di Kilometer 61 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pagi tadi. - Foto Ramli Ibrahim
KEADAAN kenderaan mangsa remuk selepas merempuh pagar sebuah jambatan di Kilometer 61 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pagi tadi. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pagar sebuah jambatan di Kilometer 61 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah, berkata nahas berlaku 11.30 pagi ketika mangsa, Nik Hazimi Ab Aziz, 19, memandu kereta itu seorang diri dari rumahnya di Tanah Rancangan FELDA Chiku 3 ke Kuala Krai.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan kereta yang dipandunya dalam keadaan hujan lebat dan jalan licin menyebabkan ia terbabas merempuh pagar jambatan di sebelah kanan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata, mangsa yang tercampak keluar dari kereta mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, sebelum diserah kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Rancangan FELDA Chiku 3, petang ini.

- BERNAMA

Berita Harian X