Khamis, 13 November 2014 | 1:29pm

2 lelaki ditahan, cuba pecah mesin ATM

ALOR SETAR: Polis Kedah menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dengan kes cubaan pecah mesin juruwang automatik (ATM) di kawasan Pokok Sena dan Simpang Empat dekat sini pada 6 dan 11 November lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 25 tahun ditahan di rumah masing-masing di sekitar Alor Setar, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof, berkata bagi kes di Pokok Sena suspek dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) menaiki sebuah kereta PERODUA Kancil dan memakai penutup muka ketika cuba mengumpil mesin ATM sebuah bank pada kira-kira jam 2 pagi tetapi gagal.

Bagaimanapun katanya, dalam cubaan kedua kira kira jam 3 pagi Selasa lalu, polis percaya suspek yang sama menaiki sebuah motosikal dan memakai penutup muka, cuba memecah sebuah mesin ATM di sebuah bank di Simpang Empat di sini.

"Kedua-dua cubaan mereka gagal namun kita berjaya mengesan mereka melalui siasatan yang dibuat ke atas rakaman CCTV.

"Polis selain itu turut merampas sebuah kereta PERODUA Kancil, sebuah motosikal jenis Yamaha LC, kuku kambing dan rangka motosikal," katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Berita Harian X