Ahad, 26 Oktober 2014 | 11:45am

Lelaki dipercayai penjenayah rentas sempadan ditembak mati

Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun (kiri) menunjukkan senjata milik suspek yang dipercayai penjenayah rentas sempadan dalam kejadian berbalas tembak di perairan ini, awal hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun (kiri) menunjukkan senjata milik suspek yang dipercayai penjenayah rentas sempadan dalam kejadian berbalas tembak di perairan ini, awal hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming

SEMPORNA: Pasukan keselamatan menembak mati seorang lelaki dipercayai penjenayah rentas sempadan dalam kejadian berbalas tembak di perairan ini, awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi tadi itu, pasukan keselamatan yang menjalankan rondaan di perairan Bangau-Bangau, di sini terserempak dengan sebuah bot berwarna biru dinaiki seorang lelaki iaitu suspek yang ditembak mati.

Anggota keselamatan kemudian cuba mengejar, namun suspek bertindak melarikan diri dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Tindakan itu memaksa anggota keselamatan membalas tembakan sebelum berjaya menghampiri bot berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas bot itu kemudian mendapati suspek terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan sudah meninggal dunia.

Pemeriksaan lanjut turut menjumpai sepucuk revolver 38 bersama dua kelongsong peluru dan tiga peluru hidup dalam bot suspek.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Rashid Harun, ketika mengesahkan kejadian itu pada sidang media petang tadi, memaklumkan mayat suspek kemudiannya dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan suspek dalam kes culik untuk tebusan dan jenayah rentas sempadan lain," katanya di Pangkalan Polis Marin (PPM) Semporna, di sini.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, pasukan keselamatan mengendalikan operasi susulan di beberapa perkampungan air di daerah ini dan menahan sembilan individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan.

ESSCOM juga mengedarkan gambar enam individu yang dapat membantu siasatan pasukan keselamatan.

Khamis lalu, tiga lelaki dipercayai pemberi maklumat kepada penjenayah rentas sempadan dari negara jiran ditahan pihak ESSCOM di perairan Pulau Mabul, Semporna, di sini.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 14 hingga 29 tahun itu ditahan, selepas empat anggota keselamatan yang menjalankan tugas operasi mengesan kehadiran sebuah bot melintasi kawasan jeti Smart Bangalow Resort, Pulau Mabul kira-kira jam 8.30 malam.

Berita Harian X