Selasa, 7 Oktober 2014 | 5:38pm

Penghantar surat dihukum penjara dan denda kerana pecahkan cermin kereta

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta seorang jurulatih persendirian.

Elanchelian Sinnasamy, 49, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Phoon Kah Seng, 31, di hadapan G Tower, Jalan Tun Razak di sini pukul 10.10 malam pada 4 Okt lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Zuraini Abdul Razak berkata selain mengambil kira faktor kepentingan awam dan kepentingan tertuduh, mahkamah juga mempertimbangkan fakta kes.

"Walaupun tertuduh dalam keadaan mabuk, dia tidak sepatutnya melakukan perbuatan seperti itu," katanya.

Sebelum itu, peguam Zulkifli Awang memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda yang paling minimum atas alasan Elanchelian menyesali perbuatannya itu dan ketika kejadian, anak guamnya dalam keadaan mabuk.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca ketika mangsa dan teman wanitanya sedang memandu di Jalan Istana menghala ke Cheras. Tertuduh yang menunggang motosikal, telah keluar dari simpang secara berbahaya, menyebabkan mangsa membunyikan hon kereta.

Tertuduh dilaporkan terus mengikuti kereta mangsa sehingga tiba di tempat kejadian di Jalan Ampang, lalu membaling sebuah objek ke arah kereta mangsa, mengakibatkan cermin sebelah pemandu pecah dan terkena tangan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman. - BERNAMA

Berita Harian X