Jumaat, 14 Jun 2024 | 4:28pm
Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri. - Foto fail NSTP
Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri. - Foto fail NSTP

Haikal-Hon Jian tempah tiket separuh akhir Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki meningkat naik negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian merekodkan pencapaian terbesar dalam kerjaya mereka apabila berjaya mengesahkan tiket ke separuh akhir Terbuka Australia, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-26 dunia itu menewaskan gandingan tuan rumah, Rizky Hidayat-Frengky Wijaya Putra 21-16, 18-21, 21-12 pada aksi suku akhir di Sydney Olympic Park.

Ini adalah kali pertama Haikal-Hon Jian melangkah ke kelompok empat terbaik dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500.

Sebelum ini, pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan tahap sama adalah mara ke suku akhir Terbuka Thailand.

Haikal-Hon Jian bagaimanapun ujian getir dalam misi ke pentas final apabila dijadual bertemu pilihan pertama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi separuh akhir, esok.

Ji Ting-Xiang Yu mara selepas tidak berdepan masalah mengatasi gandingan muda negara, Aaron Tai-Khang Khai Xing 21-14, 21-12.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara, Hon Jian-Go Pei Kee 21-15, 23-21.

Mereka akan berdepan beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Pertemuan itu memberi peluang kepada Kian Meng-Pei Jing yang menghuni ranking ke-19 dunia melunaskan dendam mereka selepas tewas di tangan lawan itu di Terbuka Indonesia, minggu lalu.

"Saya harap esok boleh buat yang terbaik. Jika dilihat memang peluang itu lebih kepada pasangan China mungkin 7:3 tapi kami pun tak akan putus asa.

"Sebabnya kita pun tak tau peluang kita macam mana. Jadi kami akan bagi yang terbaik untuk menang," kata Kian Meng kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pei Jing yang kemudiannya bergandingan bersama Lim Chiew Sin dalam beregu wanita turut melangkah ke separuh akhir menerusi kemenanan ke atas Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine 21-17, 21-19 dan akan bertemu wakil Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King apabila tersingkir di suku akhir selepas tunduk di tangan gandingan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 14-21, 17-21.

Berita Harian X