Rabu, 12 Jun 2024 | 3:56pm
Aaron-Wooi Yik kini bergelut dengan prestasi tidak menentu menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Aaron-Wooi Yik kini bergelut dengan prestasi tidak menentu menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Elak nasib malang Kevin-Marcus timpa Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah berjaga-jaga dalam mempersiapkan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi mengelak mereka dalam keadaan tertekan untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, bulan depan.

Badan induk itu enggan nasib menimpa bekas gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon turut menghantui Aaron-Wooi Yik di temasya terbesar dunia itu.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kevin-Marcus tidak berjaya merealisasikan harapan emas Indonesia apabila tersingkir di suku akhir biarpun mereka hadir dengan reputasi cukup tinggi dan dilihat berada di kemuncak prestasi.

Kegagalan pasangan itu menampilkan aksi terbaik mereka dipercayai berpunca daripada tekanan tinggi yang dialami sebelum temasya berlangsung.

Justeru, Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai mahu semua pihak memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sandaran bagi membawa pulang pingat emas di Paris.

"Saya ada pernah baca hantaran Kevin-Marcus di media sosial... mereka katakan semua orang harap mereka menang emas di Olimpik yang terakhir (Tokyo), semua tempat atau orang yang mereka jumpa semua cakap mengenai menang emas.

"Namun, apabila sampai kejohanan, mereka tidak dapat beraksi dengan baik dan tersingkir awal.

"Jadi, kita tidak mahu perkara sama dialami Aaron-Wooi Yik, mereka harus diberikan ruang. Mereka adalah pemain senior dan kita pun tidak perlu beritahu mereka apa yang perlu dibuat kerana mereka sendiri pasti mahukannya (emas).

"Mereka harus diberikan ruang secukupnya untuk membuat persiapan, setiap pemain tekanannya berbeza," kata Michelle.

Berbaki 44 hari sebelum temasya di Paris bermula, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking nombor lima dunia ketika ini dilihat bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas mengalami gagal menghasilkan keputusan positif dalam tiga kejohanan terakhir.

Mereka tersingkir di suku akhir Masters Malaysia dan Terbuka Singapura manakala ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Indonesia.

Menurut Michelle, Aaron-Wooi Yik kini berada di Pulau Pinang selama tiga hari bagi mengikuti program motivasi bersama pakar psikologi, Frederick Tan.

Katanya, dua lagi pasangan negara yang layak ke Paris iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

"Selepas perbincangan dengan jurulatih, pemain dan Frederick, kita buat program mengikut keperluan pemain. Aaron-Wooi Yik merasakan mereka perlu berehat seketika manakala Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei merasakan yang mereka perlu lebih banyak masa di gelanggang," katanya.

Berita Harian X