Ahad, 9 Jun 2024 | 7:42pm
Gambar Fail: Man Wei Chong- Tee Kai Wun di Masters Malaysia sebelum ini. NSTP/Aswadi Alias
Gambar Fail: Man Wei Chong- Tee Kai Wun di Masters Malaysia sebelum ini. NSTP/Aswadi Alias

Impian Wei Chong-Kai Wun lebur di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Impian untuk menamatkan kemarau 16 tahun kejuaraan dalam acara beregu lelaki di Terbuka Indonesia terkubur apabila gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berupaya mengatasi ranking kedua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, sebentar tadi.

Beraksi di Istora Senayan, Wei Chong-Kai Wun memulakan langkah dengan positif apabila dapat mengikuti rentak pantas dipamerkan lawan sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 21-19.

Momentum perlawanan terus berlanjutan di awal set kedua dengan menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mendahului saingan namun lawan mempunyai kelebihan, mempamerkan kebangkitan mengejar kedudukan sebelum memenangi saingan 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Wei Keng-Chang mula menunjukkan 'wajah sebenar' mereka di set penentuan apabila meninggalkan jauh Wei Chong-Kai Wun sebelum memuktamadkan kejuaraan dengan keputusan 21-13 sekali gus melebarkan rekod kemenangan ke atas beregu negara kepada 4-0.

Untuk rekod, kali terakhir wakil beregu lelaki negara meraih gelaran di Terbuka Indonesia adalah menerusi gandingan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008 serta Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek pada 1988 dan 1990.

Bagaimanapun, pencapaian Wei Chong-Kai Wun ini adalah yang terbaik buat mereka dalam enam penampilan di kejohanan bertaraf Super 1000.

Pulang selaku naib juara, Wei Chong-Kai Wun memperoleh hadiah wang kemenangan bernilai AS$45,500 (RM213,500) manakala Wei Keng-Chang meraih AS$96,200 (RM451,557).

Terdahulu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain China, Shi Yu Qi muncul juara selepas menewaskan Anders Antonsen 21-9, 12-21, 21-14 dalam tempoh satu jam 11 minit.

Rakan seperjuangan Yu Qi yang beraksi dalam acara perseorangan wanita, Chen Yu Fei turut cemerlang apabila menundukkan pemain pilihan pertama dari Korea Selatan, An Se Young 21-14, 14-21, 21-18.

Dalam acara beregu wanita, pilihan kedua kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee muncul juara selepas menewaskan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan straight set 21-17, 21-13.

Acara beregu campuran pula dimenangi pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas menewaskan rakan senegara, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 21-11, 21-14.

Berita Harian X