Sabtu, 8 Jun 2024 | 5:46pm
Aksi Lee Zii Jia ketika menentang Kunvalut Vitidsarn pada suku akhir Terbuka Indonesia 2024 di Istora Senayan. - BERNAMA
Aksi Lee Zii Jia ketika menentang Kunvalut Vitidsarn pada suku akhir Terbuka Indonesia 2024 di Istora Senayan. - BERNAMA

Zii Jia mahu 'perkemas' keyakinan, corak permainan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mahu memperkemaskan lagi tahap keyakinan dan corak permainan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 dengan Terbuka Australia minggu depan bakal menjadi pentas untuknya terus menguji kemampuan.

Zii Jia yang tersingkir di suku akhir Terbuka Indonesia di tangan juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, semalam berkata, usaha untuk menggandakan kedua-dua aspek itu akan dilakukan menjelang Paris 2024 yang dijadual membuka tirainya pada 26 Julai ini.

"Mungkin keyakinan dan juga corak permainan. Saya kena lebih yakin dan itu yang perlu saya usahakan dengan lebih baik lagi," kata Zii Jia yang sebelum ini meraih gelaran juara di Terbuka Thailand pada pertengahan Mei lalu sebelum muncul naib juara di Masters Malaysia seminggu selepas itu.

Pemain berusia 26 tahun yang berada di ranking ketujuh dunia itu memperoleh keputusan yang agak positif sejak dari saingan Piala Thomas dan pencapaiannya di Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1000 berkenaan adalah antara yang terbaiknya bagi musim ini.

Sejak awal musim, Zii Jia sudah menyertai tiga kejohanan berstatus Super 1000 iaitu di Terbuka Malaysia yang menyaksikan menamatkan saingan seawal pusingan pertama, sebelum bangkit berada di suku akhir Seluruh England dan meraih keputusan sama di Terbuka Indonesia.

"Saya memperoleh pencapaian yang baik sejak di Thailand (Terbuka Thailand), Malaysia (Masters Malaysia) sehinggalah hari ini. Untuk saya, saya masih belum berpuas hati (dengan pencapaiannya), tetapi ini yang perlu saya terima dan melaluinya," kata Zii Jia.

Selain Zii Jia, tujuh lagi pemain badminton akan menyertai kontinjen ke Paris 2024 iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Berita Harian X