Jumaat, 7 Jun 2024 | 9:04pm
Man Wei Chong-Tee Kai Wun layak ke separuh akhir kejohanan Super 1000 buat kali pertama dalam karier mereka. – Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Man Wei Chong-Tee Kai Wun layak ke separuh akhir kejohanan Super 1000 buat kali pertama dalam karier mereka. – Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Wei Chong-Kai Wun cemerlang ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia sekali gus mengiringi gandingan campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ke saingan empat terbaik, esok.

Pada saingan suku akhir di Istora Senayan, Wei Chong-Kai Wun diberi tentangan sengit oleh beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han seawal set pertama namun berjaya menundukkan lawan di ranking ke-25 dunia itu 21-17.

Set kedua berlangsung penuh sengit namun keputusan memihak kepada Ching Yao-Po Han 21-18 sekali gus mengheret Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking ke-20 dunia ke set penentuan.

Ching Yao-Po Han seakan hilang rentak di set ketiga sekali gus memudahkan Wei Chong-Kai Wun untuk melakar kemenangan 21-10 bagi menempah slot ke separuh akhir pertama mereka musim ini.

Lebih manis, pencapaian ke separuh akhir adalah yang terbaik buat Wei Chong-Kai Wun setakat ini dengan sebelum ini terkandas pada suku akhir Masters Malaysia dan Terbuka Switzerland.

"Kami gembira dengan kejohanan Super 1000 ini dan mara ke separuh akhir, masih ada perlawanan lagi dan kami akan main dengan sebaiknya," kata Kai Wun kepada BWF.

"Kami tak jangka (ke separuh akhir dalam saingan Super 1000) kerana kami sering tewas pada pusingan pertama atau kedua. Ini kali pertama ke separuh akhir dan tentunya kami gembira."

Sebelum itu, Kian Meng-Pei Jing melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan kelapan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-8, 21-19 dan dijadual bertemu gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin esok.

Berita Harian X