Jumaat, 7 Jun 2024 | 6:05pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan di Terbuka Indonesia. - BERNAMA
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan di Terbuka Indonesia. - BERNAMA

Zii Jia kandas di suku akhir

KUALA LUMPUR: Juara Terbuka Thailand, Lee Zii Jia terkandas di suku akhir Terbuka Indonesia, sekali gus menyaksikan tiada lagi wakil pemain perseorangan negara di saingan separuh akhir, esok.

Zii Jia yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 kecundang buat kali keempat di tangan wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menewaskannya 21-16, 21-17 di pentas suku akhir di Istora Senayan sebentar tadi.

Kekalahan Zii Jia yang juga ranking ketujuh dunia itu secara tidak langsung menyaksikan Kunlavut (kelapan dunia) kembali mengikat rekod kemenangan selepas lapan pertemuan antara mereka berdua kepada 4-4.

"Saya fikir dia bermain dengan baik hari ini, malah dari sudut pertahanan juga, dia sangat bagus.

"Sukar untuk saya menewaskannya dengan pukulan serangan. Saya tidak gembira dengan keputusan ini tetapi saya kena menerimanya," kata Zii Jia.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil perseorangan negara, Leong Jun Hao tidak berupaya meneruskan rentak cemerlangnya di Terbuka Indonesia apabila dikecewakan pilihan keenam dari China, Li Shi Feng 11-21, 12-21 dalam tempoh 43 minit.

Berita Harian X