Jumaat, 7 Jun 2024 | 5:47pm
Atlet badminton para negara Cheah Liek Hou memenangi anugerah Atlet Para Terbaik pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam tadi. – Foto BERNAMA
Atlet badminton para negara Cheah Liek Hou memenangi anugerah Atlet Para Terbaik pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam tadi. – Foto BERNAMA

Liek Hou tak letak sasaran di Glasgow

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou enggan meletakkan sebarang sasaran pada Kejohanan Empat Negara Para Antarabangsa 2024 di Glasgow, Scotland dari 18 hingga 23 Jun ini.

Sebaliknya, Liek Hou yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) berkata, dia mahu menggunakan peluang beraksi pada kejohanan terakhirnya sebelum Sukan Paralimpik 2024 di Paris untuk meninjau prestasi pemain lain termasuk musuh ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi.

"Saya mahu lihat di mana tahap pemain lain sama ada prestasi mereka masih sama atau sudah meningkat sewaktu bermain di Kejohanan Empat Negara Para Antarabangsa 2024.

"Setibanya saya di Malaysia selepas kejohanan di Glasgow nanti saya akan lakukan analisis persembahan pemain lain dan cuba cari strategi sebelum ke Sukan Paralimpik 2024," katanya ketika ditemui selepas Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam tadi.

Juara bertahan Sukan Paralimpik itu mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dalam acara malam tadi.

Turut dicalonkan bagi gelaran itu jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia Noor Askuzaimey Mat Salim.

Dalam pada itu, pemain berusia 36 tahun itu berkata dia akan 'berkampung' di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, selepas pulang dari Glasgow bagi menjalani kem latihan pusat menjelang Sukan Paralimpik.

"Di MSN Bukit Jalil nanti saya akan jalani latihan penuh dengan menekankan aspek fizikal dan kecergasan," katanya.

Pemain ranking nombor satu dunia itu pada masa sama berharap dia bebas daripada kecederaan sekali gus dapat mencapai kemuncak prestasi pada temasya sukan berprestij itu.

Sukan Paralimpik 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September.

Liek Hou mengumpul lima gelaran tahun ini termasuk muncul juara dunia buat kali kelapan bagi perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 di Pattaya, Thailand, Februari lalu. – BERNAMA

Berita Harian X