Isnin, 27 Mei 2024 | 1:53pm
Tat Meng (kanan) memberi panduan kepada Zii Jia ketika menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Tat Meng (kanan) memberi panduan kepada Zii Jia ketika menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Zii Jia tak silap lantik Tat Meng

KUALA LUMPUR: Keputusan melantik Wong Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan Team Lee Zii Jia (Team LZJ) sejak setahun lalu nyata memberi impak positif buat pemain perseorangan profesional negara itu yang sedang dalam misi memburu pingat di Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Sejak bersama pasukan pada Mei tahun lalu, Tat Meng berjaya membawa Zii Jia meraih empat kejayaan di pentas podium iaitu dua gelaran juara di Terbuka Arctic 2023 dan Terbuka Thailand 2024, dua minggu lalu.

Selain itu, gandingan ini turut memperoleh dua gelaran naib juara iaitu di Terbuka Denmark tahun lalu selain yang terbaharu di Masters Malaysia 2024 selepas Zii Jia tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 6-21, 22-20, 13-21.

"Saya sudah katakan sebelum ini ketika melantik Tat Meng sebagai jurulatih betapa dia seorang yang berpengalaman selain pernah melatih di dalam dan juga di luar negara. Disebabkan itu, dia sudah merasai banyak budaya badminton yang berbeza.

"Pengalaman serta pandangan yang ada padanya digunakan sebaiknya untuk membantu saya mencapai matlamat di Sukan Olimpik nanti," kata Zii Jia.

Pada aksi final semalam, Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia tewas di tangan Axelsen dalam pertarungan tiga set sekali gus memanjangkan lagi kemarau Malaysia untuk menjuarai acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2016.

Malah kekalahan itu menyaksikan Zii Jia gagal dalam misi untuk merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand 2024 seminggu sebelum itu.

Berita Harian X