Ahad, 26 Mei 2024 | 9:24pm
Pemain perseorangan Denmark, Viktor Axelsen (kanan) dan Zii Jia pada majlis penyampaian hadiah Masters Malaysia. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan Denmark, Viktor Axelsen (kanan) dan Zii Jia pada majlis penyampaian hadiah Masters Malaysia. - NSTP/ASWADI ALIAS

Zii Jia akui Axelsen hebat

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui masih banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukannya untuk menyaingi kehebatan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Di sebalik tentangan sengit yang diberikan pemain ranking ke-10 dunia itu, ia masih belum cukup untuk menafikan bintang Denmark itu daripada menjuarai saingan Masters Malaysia, hari ini.

Zii Jia yang muncul juara Terbuka Thailand, Ahad lalu terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set 6-21, 22-20, 13-21 pada aksi final di Axiata Arena.

Ia adalah kekalahan kedua Zii Jia di tangan Axelsen dalam saingan musim ini selepas turut mengalami nasib sama pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lalu.

"Tidak banyak perubahan besar dalam permainan saya. Saya sudah memberikan yang saya ada hari ini tetapi inilah keputusannya.

"Semua pun tahu, kalau saya cergas sepenuhnya pun belum tentu saya boleh menang ke atas Axelsen. Dia pemain yang berpengalaman dan saya sudah memberikan yang terbaik.

"Sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya dalam perlawanan hari ini tetapi saya perlu terima ini bukan hari saya," kata Zii Jia.

Lee Zii Jia bersalaman dengan pemain Denmark Viktor Axelsen (kanan) selepas final Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Bernama
Lee Zii Jia bersalaman dengan pemain Denmark Viktor Axelsen (kanan) selepas final Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Bernama

Menurut Zii Jia, meskipun dia tidak berjaya merekodkan gelaran kedua berturut-turut dalam saingan Jelajah Dunia BWF tetapi percaya dia tetap di landasan tepat dalam usaha melonjakkan prestasinya menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ia satu pengalaman yang bagus untuk saya dalam tempoh dua minggu ini, banyak yang saya belajar. Diharapkan saya dapat bawa perkara positif ini ke kejohanan seterusnya menuju ke Olimpik Paris," katanya.

Kali terakhir wakil perseorangan lelaki negara muncul juara di Masters Malaysia adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016.

Chong Wei juga kekal sebagai pemain perseorangan lelaki negara yang terakhir merangkul gelaran di laman sendiri ketika menjuarai Terbuka Malaysia pada 2018.

Berita Harian X