Khamis, 23 Mei 2024 | 7:39pm
Aksi beregu lelaki negara, Roy King Yap (kanan) dan Junaidi Arif ketika menentang pemain Taiwan Lee Jhe Huei dan Yany Po Hsuan pada pusingan kedua perlawanan sempena Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. Malaysia menang 13-21, 21-15, 21-18. - Foto BERNAMA
Aksi beregu lelaki negara, Roy King Yap (kanan) dan Junaidi Arif ketika menentang pemain Taiwan Lee Jhe Huei dan Yany Po Hsuan pada pusingan kedua perlawanan sempena Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. Malaysia menang 13-21, 21-15, 21-18. - Foto BERNAMA

Arif-Roy King lakar kejutan singkir pilihan keempat

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara sedang meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan untuk melangkah ke suku akhir Masters Malaysia, hari ini.

Arif-Roy King yang berada di ranking ke-47 dunia bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-18 ke atas lawan itu pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena.

Ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan dengan Jhe Huei-Po Hsuan tampil dengan reputasi tinggi selaku pasangan nombor empat dunia selain memegang status selaku naib juara Terbuka Perancis dan juara Terbuka Jerman.

"Alhamdulillah dapat menang hari ini. Sebenarnya, kami langsung tidak menjangka untuk melakukan kebangkitan kerana fokus kami hanya main dan keluarkan aksi terbaik.

"Ketika set penentuan, kami dapat memegang servis selepas mata ke-11 dan ia menjadi kelebihan untuk kami. Selain itu, kami juga kekal sabar dan meningkatkan kekuatan mental," kata Wan Arif ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Roy King menyifatkan kemenangan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka andai berdepan pasangan utama dunia yang lain.

"Ini membuktikan kami ada kualiti dan mampu untuk menewaskan pasangan utama dunia. Kami harap boleh kekal konsisten supaya dapat meningkatkan lagi kedudukan ranking dan boleh beraksi dalam kejohanan yang lebih tinggi," kata Roy King.

Menanti Arif-Roy King di suku akhir esok adalah pilihan keenam dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard yang mengenepikan cabaran beregu veteran Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.

Turut mara ke pusingan suku akhir esok adalah dua lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menewaskan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-17, 21-12 manakala Aaron-Chia Soh Wooi Yik menundukkan Chen Bo Yang-Liu Yi 21-13, 13-21, 21-10.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rassmussen manakala Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan pertama dijadual menentang Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan.

Berita Harian X