Rabu, 22 Mei 2024 | 8:39pm
Lee Zii Jia ketika menentang pemain China, Zhao Jun Peng pada Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS
Lee Zii Jia ketika menentang pemain China, Zhao Jun Peng pada Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/ASWADI ALIAS

Zii Jia bangkit tewaskan Jun Peng

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mencipta kebangitan sensasi untuk melangkah ke pusingan kedua Masters Malaysia, sebentar tadi.

Tampil sebagai pilihan kelima, Zii Jia yang turun menentang pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan pertama dikejutkan dengan kekalahan 19-21 di set pertama.

Bagaimanapun, sokongan padu daripada penyokong yang hadir di Axiata Arena mencetuskan kebangkitan Zii Jia yang memenangi dua set berikutnya 21-11, 21-14 untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Zii Jia ketika ini dalam misi memburu gelaran kedua musim ini selepas menjuarai saingan Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lalu.

Bekas juara Asia itu akan berdepan pemain India, Kiran George bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao turut mengharungi aksi tiga set sebelum mara mara ke pusingan kedua hasil kemenangan ke atas pemain China, Lei Lan Xi 13-21, 23-21, 21-12.

Ujian getir menantinya dalam misi memburu tiket ke suku akhir apabila dijadual menentang pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng.

Dalam pada itu, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi Polina Buhrova dari Ukraine 21-16, 18-21, 21-14 dan akan membuat perhitungan dengan pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan, esok.

Aksi beregu campuran pula menyaksikan gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Hsung Kuai Chun-Tsang Hiu Yan Hong Kong 21-16, 25-23.

Mereka akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Boon Xin Yuan yang tersingkir di pusingan pertama susulan kekalahan di tangan gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard dari Denmark 13-21, 8-21.

Nasib sama turut menimpa beregu campuran Yap Roy King-Valeree Siow apabila tunduk kepada Rinova Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia 14-21, 12-21.

Berita Harian X