Selasa, 21 Mei 2024 | 5:22pm
Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun Tee ketika menentang pasangan Taiwan, Chiang Chien Wei- Wu Hsuan Yi pada pusingan pertama badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun Tee ketika menentang pasangan Taiwan, Chiang Chien Wei- Wu Hsuan Yi pada pusingan pertama badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS

Wei Chong-Kai Wun 'lolos' pusingan pertama

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 'lulus' ujian pertama mereka dalam misi mengulangi pencapaian mara ke final edisi tahun lalu selepas mengesahkan tiket ke pusingan kedua Masters Malaysia, hari ini.

Pasangan ranking ke-20 dunia itu mara selepas mengatasi beregu ke-57 dunia dari Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 22-20, 21-12 dalam tempoh 36 minit pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.

Kemenangan itu membolehkan Wei Chong-Kai Wun melunaskan dendam mereka ke atas lawan berkenaan selepas tewas ketika pertemuan pertama mereka di pusingan pertama Terbuka Australia pada Ogos tahun lalu.

"Untuk perlawanan hari ini, kami ada ubah strategi permainan selepas kami tewas kepada mereka di Terbuka Australia. Ketika itu kami banyak buat kesilapan mudah.

"Pada permulaan permainan pun kami ada buat kesilapan yang sama tetapi selepas itu kami ubah mentaliti dan tampil dengan idea yang lebih berkesan, dari sana kami dapat rentak permainan sebenar kami," kata Kai Wun selepas tamat perlawanan.

Juara Terbuka Taiwan 2023 itu akan bertemu pemenang perlawanan antara dua rakan senegara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian dengan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Situasi itu sekali gus menjamin satu slot buat Malaysia untuk aksi di kelompok lapan terbaik.

Pada edisi tahun lalu, Wei Chong-Kai Wun terlepas gelaran juara selepas tunduk di tangan pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pentas final.

Sementara itu, aksi pusingan kelayakan menyaksikan beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Boon Xin Yuan berjaya mengesakan tiket ke undian utama selepas menewaskan rakan senegara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe 21-17, 20-22, 21-18.

Menanti mereka di pusingan pertama adalah pilihan keenam dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi tiga pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven, Ong Zhen Yi dan Cheam June Wei apabila tersingkir di pusingan kelayakan selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Nasib sama turut menimpa perseorangan Wanita, Wong Ling Ching dan beregu lelaki, Chia Weijie-Liew Xun.

Berita Harian X