Selasa, 21 Mei 2024 | 12:18pm
Zii Jia ketika sesi menguji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, pagi tadi.
Zii Jia ketika sesi menguji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, pagi tadi.

Zii Jia enggan dabik dada

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia enggan terus dibuai kejayaan menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu.

Sebaliknya, pemain ranking ke-10 dunia itu mengambil pendekatan untuk 'bermula dari kosong' apabila turun beraksi di Masters Malaysia yang bermula, hari ini di Axiata Arena Bukit Jalil.

Zii Jia bagaimanapun hanya akan turun gelanggang bagi aksi pusingan pertama, esok dengan dia dijadual menentang pemain ke-45 dunia, Zhao Jun Peng dari China.

"Setiap kejohanan adalah permulaan yang baharu untuk saya. Kita pun tidak pasti apa akan berlaku nanti.

"Sebab itu, seperti yang saya selalu katakan, setiap kejohanan saya perlu bermula semula," kata Zii Jia yang ditemui selepas selesai menguji gelanggang di Axiata Arena, hari ini.

Terdahulu, Zii Jia menghabiskan masa hampir sejam menguji gelanggang di Axiata Arena bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng dan dua rakan sepelatih, Lee Shun Yang dan Tan Choong Yen.

Difahamkan, Zii Jia hanya tiba dari Bangkok, semalam dan hanya berpeluang untuk menguji gelanggang, hari ini.

Di Terbuka Thailand, Zii Jia muncul juara selepas menewaskan pemain berpengalaman Hong Kong, Ng Ka Long di pentas final.

Saingan Masters Malaysia kali ini dianggap medan terbaik untuk Zii Jia sekali lagi menguji kemampuannya dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kehadiran beberapa pemain utama dunia termasuk pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Selain Axelsen, rakan senegaranya yang juga pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen turut akan beraksi serta pemain nombor enam dari China, Li Shi Feng.

Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan Antonsen yang juga pilihan kedua di suku akhir andai kedua-duanya melepasi dua pusingan awal.

Bekas juara Asia itu, berkata dia sudah bersedia dan bermotivasi tinggi untuk memulakan cabaran di Masters Malaysia.

"Ketika ini, saya dalam keadaan yang baik dan bersemangat untuk beraksi. Saya tidak mahu fikir terlalu banyak mengenai undian atau apa, sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Zii Jia di Masters Malaysia adalah pada edisi 2020 yang menyaksikan dia mara ke separuh akhir.

Pada edisi tahun lalu, dia tersingkir di pusingan kedua selepas tewas di tangan pemain Taiwan, Lin Chun Yi.

Berita Harian X