Sabtu, 18 Mei 2024 | 8:49pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. Foto fail BERNAMA
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. Foto fail BERNAMA

Zii Jia ke final Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menembusi pentas final pertamanya musim ini apabila berjaya menewaskan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen 18-21, 21-12, 21-13 di separuh akhir Terbuka Thailand, sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, Zii Jia bangkit daripada ketinggalan 18-21 di set pertama dengan memenangi set kedua 21-12 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan yang berlangsung di Stadium Nimibutr.

Zii Jia berjaya menundukkan lawannya itu 21-13 di set ketiga untuk menempah slot ke final dan dijadual bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus yang sebelum itu menewaskan wakil tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn 21-14, 18-21, 21-19 dalam tempoh 1 jam 18 minit.

Pertembungan antara Zii Jia dan Ka Long di pentas final esok bakal menjadi yang kelapan dengan rekod kemenangan sebelum ini memihak kepada pemain dari Hong Kong berkenaan, 4-3.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah di pusingan kedua Masters Indonesia pada Januari lalu yang menyaksikan Zii Jia mengatasi Ka Long dengan keputusan 22-20, 21-15.

Untuk rekod, kali terakhir Zii Jia berada di pentas final adalah di Terbuka Denmark Oktober tahun lalu - momentum yang dibawanya selepas menjuarai Terbuka Arctic seminggu sebelum itu.

Berita Harian X