Rabu, 15 Mei 2024 | 8:49pm
Aksi beregu negara, Man Wei Chong (kanan) dan Tee Kai Wun ketika menentang pemain Korea Selatan pada final Masters Malaysia tahun lalu. - BERNAMA
Aksi beregu negara, Man Wei Chong (kanan) dan Tee Kai Wun ketika menentang pemain Korea Selatan pada final Masters Malaysia tahun lalu. - BERNAMA

Wei Chong-Kai Wun sedia hadapi Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun enggan dibuai pencapaian muncul naib juara pada edisi tahun lalu apabila beraksi pada saingan Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei ini.

Pasangan ranking ke-20 dunia itu berjaya mara ke pentas final pada tahun lalu tetapi terpaksa akur terlepas gelaran juara selepas tewas di tangan beregu Korea Selatan, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae.

Menurut Wei Chong, biarpun ramai pasangan utama dunia tidak menyertai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu namun mereka tidak menganggap ia sebagai jaminan untuk mereka mudah mengulangi pencapaian tahun lalu.

"Bagi saya kami kena bersedia dengan secukup-cukupnya kerana tahun lalu kita telah melangkah ke final.

"Jadi, kami tidak fikir banyak sangat dan hanya ingin buat terbaik kerana kami juga sudah melakukan persiapan lebih satu bulan bagi menghadapi kejohanan ini.

"Biarpun kejohanan ini tidak ramai pemain terbaik dunia hadir kerana memberi tumpuan ke Olimpik Paris tetapi ada lagi gandingan yang kuat.

"Jadi, kami tidak boleh pandang mudah dengan pemain yang ada ini. Kami perlu fokus satu demi satu perlawanan," kata Wei Chong ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Pada edisi kali ini, Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh akan membuka tirai saingan menentang pasangan Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi di pusingan pertama.

"Siapapun lawan kami, kami perlu bersedia. Kami sudah melakukan persiapan sebelum undian dikeluarkan lagi," kata Wei Chong.

Berita Harian X