Rabu, 15 Mei 2024 | 8:09pm
Rexy ketika sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. NSTP/FARHAN RAZAK
Rexy ketika sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. NSTP/FARHAN RAZAK

'Biar jurulatih sakit kepala'

KUALA LUMPUR: Saya hanya mahu komitmen daripada pemain, selebihnya biar jurulatih yang pening kepala!

Itu tegas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berhubung persiapan pemain negara berbaki 73 hari sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Menurut bekas juara dunia dan Olimpik dari Indonesia itu, pemain tidak perlu memikirkan hal-hal lain sebaliknya hanya fokus kepada latihan dan kejohanan disertai mereka bagi berada pada tahap prestasi terbaik sebelum Olimpik bermula.

Katanya, jurulatih akan menjadi barisan hadapan untuk menangkis segala tekanan atau faktor luaran yang tidak diperlukan pemain dalam tempoh genting ini.

"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih pada Isnin lalu bagi bercakap mengenai perkara ini. Saya tidak mahu pemain fikir mengenai perkara lain selain latihan dan kejohanan mereka.

"Saya sudah maklumkan kepada jurulatih yang terbabit dengan program RTG (Road to Gold), mereka mesti berkorban untuk pastikan pemain dalam keadaan terbaik.

"Kita mahu pemain tahu yang jurulatih mengambil tanggungjawab untuk menjaga mereka.

"Jadi, sebagai balasan saya hanya mahu komitmen daripada pemain dan mereka perlu beraksi pada tahap terbaik di Olimpik," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di ABM, di sini, hari ini.

Sebanyak tiga wakil negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) layak ke Olimpik Paris kali iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dua lagi adalah pemain perseorangan lelaki dan wanita profesional iaitu Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Ada tiga lagi kejohanan akan disertai pemain negara sebelum berlepas ke Paris bermula Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei, Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Dalam pada itu, Rexy mengambil pendekatan berhati-hati dalam berkongsi perkembangan terkini persiapan pemain negara ke Olimpik bagi mengelak daripada diketahui pihak lawan.

"Kita sebelum ini terlalu baik, kadang-kadang pemain pun terlalu baik dengan pihak lawan. Waktu temu bual kita kongsikan semua perkara sekali gus mendedahkan kekuatan dan kelemahan pemain kita kepada umum.

"Jadi, kita perlu lebih berhati-hati selepas ini apatah lagi ini adalah tahun yang penting (Olimpik). Ada anda dengar China bercakap mengenai Chen Yu Fei (perseorangan wanita), ada?," katanya.

Berita Harian X