Selasa, 14 Mei 2024 | 6:14pm
Lee Zii Jia akan menentang Lan Xi pada pusingan pertama Terbuka Thailand esok.
Lee Zii Jia akan menentang Lan Xi pada pusingan pertama Terbuka Thailand esok.

Zii Jia sah ke Bangkok

KUALA LUMPUR: Selepas tidak beraksi pada edisi tahun lalu, Lee Zii Jia kembali memburu kejuaraan di Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok, minggu ini.

Susulan mesyuarat pengurus pasukan semalam, pemain perseorangan lelaki profesional negara itu melonjak ke kedudukan keenam selaku pemain pilihan selepas juara Sukan Asia, Li Shi Feng menarik diri.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia akan membuka tirai saingan menentang Lei Lan Xi dari China untuk aksi pusingan pertama, esok.

"Zii Jia bersedia dan akan bermain," kata jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng kepada BH Sukan sekali gus mengakhiri persoalan mengenai penyertaan anak didiknya itu di Terbuka Thailand kali ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia hanya pernah sekali bertemu Lan Xi yang menyaksikan dia mencatat kemenangan ke atas lawan itu ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2023.

Zii Jia sebelum ini muncul juara kali pertama di Terbuka Thailand pada 2022 selepas menewaskan Shi Feng di pentas final.

Saingan di Bangkok memberi peluang buat Zii Jia bagi membuktikan kredibilitinya untuk tampil sebagai pencabar utama pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebelum ini, Zii Jia menegaskan yang dia tidak mahu sekadar layak ke Olimpik Paris sebaliknya menetapkan sasaran untuk meraih emas di temasya terbesar dunia itu.

Terbuka Thailand juga penting buat Zii Jia menghasilkan keputusan positif bagi melonjakkan kedudukan ranking dunianya untuk mendapat kedudukan selaku pemain pilihan di Olimpik Paris.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao turut akan beraksi dalam undian utama di Terbuka Thailand.

Bekas juara remaja Asia itu akan membuka tirai saingan menentang pemain Taiwan, Su Li Yang.

Pada edisi tahun lalu, Jun Hao berjaya mara sehingga suku akhir sebelum tewas di tangan pemain India, Lakshya Sen.

Berita Harian X