Selasa, 14 Mei 2024 | 12:20pm
Dari kiri; Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua.
Dari kiri; Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua.

BAM iklan jawatan kosong, kedudukan Hendrawan, Seu Bock tak selamat

KUALA LUMPUR: Adakah kontrak tiga jurulatih perseorangan badminton lelaki negara - Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua - tidak akan disambung hujung tahun ini?

Persoalan itu timbul selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengiklankan jawatan bagi mencari jurulatih perseorangan lelaki yang baharu buat skuad senior kebangsaan, hari ini.

Bagaimanapun, Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai menjelaskan tindakan itu sebagai langkah awal bagi menghadapi pasca Sukan Olimpik Paris 2024 dengan badan induk itu mahu melihat semua pilihan yang mereka ada bagi memperkasakan struktur kejurulatihan skuad negara.

Katanya, khidmat Hendrawan, Seu Bock dan James buat masa ini masih lagi diperlukan untuk sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

"Ia sebahagian daripada proses, kebiasaannya kami akan ada penilaian pada setiap hujung tahun.

"Jadi, kami mahu buat persediaan awal untuk menghadapi segala kemungkinan, tidak boleh nanti bila sudah sampai waktu, baru kami nak buat.

"Buat masa sekarang, Hendrawan, Seu Bock dan James kekal dan akan menjalankan tugas mereka seperti biasa. Jurulatih baharu sekiranya dilantik nanti hanya akan memulakan tugas pada 1 Januari tahun depan," katanya kepada BH Sukan.

Ditanya mengenai bilangan jurulatih baharu yang akan dilantik, Michelle berkata ia belum diputuskan lagi kerana bergantung kepada penilaian yang akan dibuat selepas tamat Olimpik Paris.

"Kami akan lihat sama ada mengekalkan struktur yang sama atau sebaliknya.

"Ia juga bergantung kepada jumlah pemain yang kami ada, jika nanti kami buat keputusan untuk hanya simpan empat pemain, mungkin kami hanya ambil seorang jurulatih dan jika kami kekalkan 10 pemain, mungkin ambil tiga jurulatih," katanya.

Pada masa sama, Michelle juga tidak menolak kemungkinan BAM melaksanakan cadangan bagi melepaskan pemain senior bergerak menjadi profesional pada tahun depan.

"Kemungkinan itu ada, ada banyak idea diterima ketika ini. Kami terbuka dengan semua pilihan.

"Mungkin kalau kami lepaskan semua pemain, kami tidak perlukan lagi jurulatih. Banyak perkara yang akan diambil kira dan dipertimbangkan, jadi kami perlu bersedia dengan segala kemungkinan," katanya.

Acara perseorangan lelaki ketika ini dianggap 'kritikal' dan memerlukan perubahan drastik selepas tidak banyak keputusan positif dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih malang, perseorangan utama kebangsaan, Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang selepas dua kali menjalani pembedahan susulan kecederaan belakang yang dialami pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Disebabkan kelompongan yang berlaku, BAM terpaksa memanggil perseorangan profesional Lee Zii Jia bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China, awal bulan ini yang menyaksikan pemain itu menuntut bayaran untuk menyarung jersi kebangsaan atas faktor komersial.

Hendrawan sudah berkhidmat bersama BAM sejak 2009 manakala Seu Bock yang membantu Datuk Lee Chong Wei memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik mula bergelar jurulatih kebangsaan pada 2002.

James, bekas juara Terbuka Malaysia, pula memulakan tugasnya selaku jurulatih perseorangan lelaki negara pada Julai 2022.

Berita Harian X