Ahad, 12 Mei 2024 | 10:11pm
Sivasangari (kanan) ketika berdepan pemain remaja Amerika Syarikat, Caroline Fouts. - Foto ihsan Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Sivasangari (kanan) ketika berdepan pemain remaja Amerika Syarikat, Caroline Fouts. - Foto ihsan Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Sivasangari ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, S Sivasangari menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah, Mesir, hari ini.

Juara Klasik London itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain remaja Amerika Syarikat, Caroline Fouts 3-0 (11-6, 11-7, 11-6) pada aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 24 minit.

"Caroline baru 18 tahun… dalam fikiran saya timbul persoalan bagaimana agaknya masa depan skuasy. Dia bakal memasuki universiti dan saya pasti dia adalah harapan besar Amerika Syarikat di masa depan," kata Sivasangari.

Pemain berusia 25 tahun itu dijangka berdepan ujian getir di pusingan ketiga apabila bakal bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Mesir, Hania El Hammamy ataupun pemain Perancis, Melissa Alves, Selasa ini.

Sebagai rekod, Sivasangari berjaya mengatasi El Hammamy pada aksi final Klasik London, bulan lalu.

Sementara itu, pemain lelaki utama negara, Ng Eain Yow turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan wakil Jepun, Ryunosukue Tsukue dalam aksi straight set 11-1, 11-5, 11-9 dalam masa 36 minit.

Eain Yow akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua, Paul Coll dari New Zealand atau Leonel Cardenas dari Mexico.

Berita Harian X