Ahad, 12 Mei 2024 | 8:19pm
Xin Yee menjuarai perseorangan wanita. - Foto penganjur
Xin Yee menjuarai perseorangan wanita. - Foto penganjur

Xin Yee raih gelaran berganda

KUALA LUMPUR: Pemain muda, Ong Xin Yee semakin menyerlahkan potensi dimilikinya apabila merangkul gelaran berganda di Kejohanan Badminton Bawah 18 tahun Kebangsaan di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Bintang kelahiran Kuala Lumpur itu cemerlang apabila menjuarai saingan dalam acara perseorangan dan beregu perempuan.

Pilihan utama kejohanan itu muncul juara perseorangan selepas menewaskan rakan sepasukan, Oo Shan Zi 21-8 21-11 di pentas final dalam tempoh 35 minit.

Xin Yee yang bergandingan bersama Lim Zhi Shin turut mempamerkan kehebatan apabila cemerlang mendominasi saingan acara beregu.

Bagaimanapun, pasangan itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-19, 13-21, 21-10 ke atas rakan sepasukan, Clarissa San Yee Wen-Maisarah Ramdan dalam tempoh 60 minit.

Sementara itu, Maisarah berjaya menebus kekecewaan itu apabila dia bersama gandingannya Goh Yi Qin berjaya menundukkan Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi 21-17, 21-17 dalam final beregu campuran.

Sementara itu, saingan perseorangan lelaki menyaksikan Roslie Razeeq Danial mencipta kejutan menewaskan Ayu Fu Sheng dalam pertarungan tiga set 21-17, 17-21, 21-8.

Gandingan Wan Abdul Latif Hakimi Wan Abdul Khalid-Yusnunle Muhamad Dennes menghadiahkan emas buat Kelantan apabila mempertahankan kejuaraan dalam acara beregu lelaki.

Pasangan itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Heng Zi Hin-Damien Ling Tang Le 20-22, 21-18, 21-16.

Berita Harian X