Sabtu, 11 Mei 2024 | 3:44pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika ini mengalami kecederaan yang memerlukan dia berehat panjang. - NSTP/ASWADI ALIAS
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika ini mengalami kecederaan yang memerlukan dia berehat panjang. - NSTP/ASWADI ALIAS

BAM mohon 'perlindungan ranking' untuk Tze Yong

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mengemukakan permohonan perlindungan ranking (ranking protection) buat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), minggu lalu.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Menurut Rexy, Tze Yong yang kini berada di kedudukan ranking ke-18 dunia terpaksa berehat untuk tempoh dua hingga tiga bulan lagi selepas dia menjalani pembedahan kedua susulan kecederaan belakang yang dialaminya ketika Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Katanya, situasi berkenaan menyaksikan Tze Yong turut tidak akan menyertai saingan Masters Malaysia yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 26 Mei ini di Axiata Arena Bukit Jalil.

"Laporan terkini yang saya terima daripada pasukan perubatan, Tze Yong perlu berehat untuk tempoh dua hingga tiga bulan lagi selepas menjalani pembedahan kedua.

"Jadi, untuk Masters Malaysia sudah pasti dia tidak boleh beraksi.

"Kita juga sudah menghantar surat kepada BWF, minggu lalu untuk memohon perlindungan ranking buat Tze Yong," kata Rexy kepada BH Sukan.

Perlindungan ranking boleh dipohon oleh mana-mana pemain yang jatuh sakit atau mengalami kecederaan sehinggakan dia tidak berupaya beraksi antara tiga hingga 12 bulan.

Sebaik berkuatkuasa, ia akan melindungi ranking asal pemain itu supaya boleh terus mendaftar namanya untuk pertandingan bertaraf Jelajah Dunia BWF sebaik dia kembali cergas.

Namun, keistimewaan itu hanya boleh digunapakai mengikut tempoh pemain itu berehat atau sehingga maksima enam bulan.

Sebagai rekod, Tze Yong hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan musim ini iaitu Terbuka Malaysia pada Januari dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada Februari.

Kecederaan yang menimpa naib juara Terbuka Artik 2023 menyaksikan dia terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun suatu ketika berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke temasya terbesar dunia itu.

Berita Harian X