Isnin, 6 Mei 2024 | 11:07pm
Sivasangari ketika menjuarai Klasik London 2024 yang bertaraf emas. - Foto London Squash Classic
Sivasangari ketika menjuarai Klasik London 2024 yang bertaraf emas. - Foto London Squash Classic

Sivasangari dinobat Atlet Terbaik April oleh The World Games

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Bulan April oleh The World Games sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlangnya merangkul juara sulung kejohanan London Classic dengan mengalahkan pemain terbaik dunia, bulan lepas.

Menurut hantaran di Facebook The World Games, pengiktirafan itu berdasarkan inspirasi daripada kerja kerasnya untuk mengatasi kesukaran demi mencapai kejayaan luar biasa selepas melalui situasi sukar dan mencabar.

"Sivasangari yang menduduki ranking ke-13 dunia memenangi kejohanan berprestij GillenMarkets London Squash Classic, menewaskan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini (Mesir) di suku akhir, ranking keempat Nele Gilis (Belgium) di separuh akhir dan pemain kedua dunia Hania El Hammamy (Mesir) di final.

"Dan semua ini berlaku hanya dua tahun selepas beliau mengalami kemalangan yang mengancam nyawa, dengan kecederaan teruk di kepala, tulang belakang serta lehernya, malah doktor juga bimbang kemungkinan beliau tidak dapat berjalan lagi. Namun, beliau sudah berjalan dan menang," menurut kenyataan itu.

Selaku penerima anugerah Atlet Terbaik Bulanan Sivasangari akan menerima diploma dan hadiah berjenama.

Pada Sabtu lepas, PSA World Tour menamakan Sivasangari sebagai Pemain Terbaik Bulan Mac/April.

Pada 2022, Sivasangari mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan yang sekali gus menyebabkan beliau tidak dapat menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Prestasi luar biasa pemain berusia 25 tahun menyaksikan Sivasangari muncul pemain skuasy wanita kedua memenangi gelaran di kejohanan tahap Emas selepas Datuk Nicol David melakukannya di Terbuka Hong Kong 2015.

Sivasangari memenangi dua pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022, selain menjuarai kejohanan jelajah dunia PSA tahap Gangsa, Hong Kong Football Club Open pada November tahun lepas. – BERNAMA

Berita Harian X