Ahad, 5 Mei 2024 | 12:40pm
Aksi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao ketika menentang pemain China Li Shi Feng pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone. - Bernama
Aksi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao ketika menentang pemain China Li Shi Feng pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone. - Bernama

Barisan perseorangan negara tak sekuat China, Indonesia - Rexy

KUALA LUMPUR: Barisan pemain perseorangan negara harus mengambil iktibar daripada perlawanan bertemu juara 10 kali China yang menyaksikan Malaysia tewas 1-3 di separuh akhir Piala Thomas 2024, semalam.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata, barisan pemain sudah pun mempamerkan prestasi yang baik namun masih belum cukup memadai sekiranya hendak dibandingkan dengan pasukan China ataupun Indonesia yang baginya 'boleh menewaskan semua pemain'.

Katanya, China dan Indonesia mempunyai barisan pemain perseorangan yang boleh membuat kejutan terutama ke atas pemain di kelompok 10 terbaik namun Malaysia belum mencapai tahap keyakinan seperti itu.

"Kita harus lihat pasukan China, Indonesia... mereka mempunyai perseorangan pertama, perseorangan kedua, malah perseorangan ketiga mereka boleh menewaskan sesiapapun.

"Bukan sahaja semua orang tetapi boleh menewaskan semua pemain di kelompok 10 terbaik. Jadi dalam pasukan kita, kita hanya ada Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin (Rumsani), Goh Sze Fei dan perseorangan kedua dan ketiga juga sebenarnya boleh membuat kejutan namun masih belum cukup kuat untuk mempercayai mereka boleh tewaskan pemain di kelompok 10 terbaik.

"Boleh dilihat, seperti (Leong) Jun Hao di set pertama selepas mendahului... dia bermain dengan baik tetapi selepas (Li) Shi Feng cuba bermain dengan lebih laju, Jun Hao seperti ke belakang semula.

"Beregu negara, Aaron-Wooi Yik memperoleh kemenangan yang bagi saya baik buat mereka menjelang ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala Nur Izzuddin pada situasi mata penting di set kedua, tampak terlalu gopoh untuk membunuh lawan dan keluar daripada strategi sekali gus menyukarkan kita untuk memenangi set kedua," kata Rexy.

Pada perlawanan separuh akhir semalam, Malaysia tewas 1-3 di tangan China selepas Zii Jia yang muncul selaku perseorangan pertama kecundang di tangan pemain nombor dua dunia, Shi Yu Qi 19-21, 5-21 sebelum beregu utama negara, Aaron-Wooi Yik menyamakan semula kedudukan kepada 1-1.

Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 21-12, 21-17 namun perseorangan kedua negara, Jun Hao tewas kepada Li Shi Feng 17-21, 10-21 untuk membolehkan China kembali mendahului perlawanan kepada 2-1.

Beregu kedua negara, Nur Izzuddin-Sze Fei turun yang diharap boleh kembali menyamakan kedudukan, begitupun tidak berupaya untuk menyekat kemampuan lawan He Ji Ting-Ren Xiang Yu biarpun memperoleh tonik berharga memenangi set pertama dengan 21-18.

Set kedua berlangsung penuh mendebarkan tetapi Ji Ting-Xiang Yu lebih berani pada situasi mata penting yang menyaksikan mereka mencatat kemenangan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi set penentuan jelas memperlihatkan dominasi beregu China yang merekodkan kemenangan 21-12 sekali gus membawa pasukan itu kembali ke pentas final sejak kali terakhir pada edisi 2020 di Aarhus, Denmark.

Berita Harian X