Khamis, 2 Mei 2024 | 7:11pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik tewas kepada beregu Jepun di suku akhir Piala Thomas. - Foto AFP
Beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik tewas kepada beregu Jepun di suku akhir Piala Thomas. - Foto AFP

Beregu Jepun bangkit ikat Malaysia

KUALA LUMPUR: Jepun berjaya menyamakan kedudukan selepas beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi suku akhir Piala Thomas, sebentar tadi.

Pertembungan penuh dramatik membabitkan dua bekas juara dunia itu menyaksikan Hoki-Kobayashi lebih unggul apabila mencatat kemenangan dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-14, 21-19 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China.

Kemenangan itu menyaksikan Jepun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas perseorangan pertama mereka, Kenta Nishimoto tewas di tangan wakil negara, Lee Zii Jia.

Keputusan itu menyaksikan badi kekalahan Aaron- Wooi Yik di tangan Hoki-Kobayashi berlanjutan untuk tujuh perlawanan berturut-turut sejak tahun 2021.

Secara keseluruhan ini adalah kekalahan kelapan buat Aaron-Wooi Yik dalam 10 pertemuan.

Pasangan negara itu bermula meyakinkan biarpun diberi tentangan sengit di set pertama untuk mencatat kemenangan 21-18.

Bagaimanapun, hilang fokus dan kesilapan mudah yang dilakukan membuka peluang kepada Hoki-Kobayashi untuk kembali bangkit mencipta kemenangan 21-14 di set kedua sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pertarungan penuh dramatik disajikan kedua-dua pasangan di set ketiga dengan Aaron-Wooi Yik yang pada satu ketika ketinggalan 14-19, berjaya mengutip lima mata berturut-turut untuk mengikat 19-19, tetapi Hoki-Kobayashi kekal tenang untuk mencatat kemenangan 21-19 sekali gus memenangi perlawanan.

Berita Harian X