Khamis, 2 Mei 2024 | 3:49pm
Pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia diramal mampu menyumbang mata pertama kepada skuad negara pada aksi suku akhir Piala Thomas menentang Jepun. - Foto fail BERNAMA
Pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia diramal mampu menyumbang mata pertama kepada skuad negara pada aksi suku akhir Piala Thomas menentang Jepun. - Foto fail BERNAMA

Zii Jia mampu sumbang mata, beregu hadapi saingan sengit

KUALA LUMPUR: Atas kertas, pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia diramal mampu menyumbang mata pertama kepada skuad negara pada aksi suku akhir Piala Thomas menentang Jepun di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China, petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang akan turun beraksi, Zii Jia akan membuat perhitungan menentang Kento Nishimota yang diturunkan selaku perseorangan pertama Jepun berbanding pemain nombor enam dunia, Kodai Naraoka.

Rekod pertemuan memihak kepada Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia apabila mencatat tujuh kemenangan daripada 10 perlawanan dengan Nishimoto termasuk pertemuan terakhir ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lalu.

Bagaimanapun, aksi beregu pertama dijangka sengit membabitkan pertembungan dua bekas juara dunia dengan Malaysia diwakili Aaron Chia-Soh Wooi Yik manakala Jepun membariskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Pasangan lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik (kanan). - Foto BERNAMA
Pasangan lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik (kanan). - Foto BERNAMA

Hoki-Kobayashi memiliki kelebihan apabila menang dalam tujuh daripada sembilan pertemuan sebelum ini termasuk dua aksi terakhir di Terbuka Jepun dan Jelajah Dunia Akhir BWF pada tahun lalu.

Peluang dilihat seimbang bagi acara perseorangan kedua dengan Malaysia seperti diramal menyenaraikan Leong Jun Hao yang akan menentang Koki Watanabe.

Namun, Jun Hao yang berada di ranking ke-37 memegang rekod kemenangan 2-1 ke atas Watanabe di kedudukan ke-22 dunia termasuk mengatasi lawan itu ketika saingan BATC pada Februari lalu.

Tugas getir menanti beregu kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dalam misi untuk menyumbang mata apabila dijadual bertemu Taichi Saito-Akira Koga yang menyaksikan mereka sebelum ini tewas dalam semua tiga pertemuan di tangan lawan berkenaan.

Penentuan kemenangan andai keputusan terikat 2-2 akan terarah kepada Justin Hoh yang sekali lagi diberi tugas selaku perseorangan ketiga dan akan turun menentang bekas juara dunia dua kali, Kento Momota.

Kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini tetapi bukan sesuatu yang mustahil buat Justin untuk mencipta kejutan susulan kemerosotan prestasi dialami Momota yang sebelum ini mengumumkan persaraannya selepas tamat saingan Piala Thomas.

Berita Harian X