Selasa, 30 April 2024 | 11:06pm
Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mengetuai lapan pemain badminton negara layak ke Sukan Olimpik 2024 Julai depan. - Bernama
Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mengetuai lapan pemain badminton negara layak ke Sukan Olimpik 2024 Julai depan. - Bernama

Zii Jia ketuai lapan pemain ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Kelayakan Sukan Olimpik selama setahun untuk badminton berakhir secara rasminya, hari ini.

Ketika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hanya akan mengumumkan senarai yang sah layak ke Paris pada 10 Mei nanti, Malaysia boleh dikatakan memiliki wakil dalam semua lima kategori.

Pemain negara yang sudahpun mengesahkan slot adalah Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Bekas pemain kebangsaan, Rashid Sidek optimis Aaron-Wooi Yik bakal menjadi sandaran terbaik negara untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik.

"Aaron-Wooi Yik adalah pemain kita yang paling konsisten. Secara peribadinya, saya fikir mereka boleh memenangi pingat di Paris.

"Saya juga berpendapat Zii Jia menjadi antara atlet yang mampu menyumbang pingat di Sukan Olimpik.

"Mungkin boleh dengan prestasi semasanya, jadi kita tunggu bagaimana prestasinya di Sukan Olimpik nanti.

"Cuma bagi yang lain, saya rasa agak sukar termasuklah beregu campuran kita," kata Rashid.

Pada edisi lalu di Tokyo, Malaysia merangkul pingat gangsa menerusi Aaron-Wooi Yik.

Pencapaian terbaik skuad badminton negara adalah pada temasya Sukan Olimpik di Rio dengan tiga pingat perak.

Info

Ranking pemain kelayakan Olimpik

Perseorangan lelaki

Lee Zii Jia (10)

Beregu lelaki

Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5)

Perseorangan wanita

Goh Jin Wei (32)

Beregu wanita

Pearly Tan-M Thinaah (14)

Beregu campuran

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (9)

* Dalam kurungan kedudukan ranking kelayakan Olimpik

Info

Senarai 10 Atlet Yang Sudah Layak Ke Olimpik Paris

1. Datuk Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

2. Muhammad Shah Firdaus Sahrom (Berbasikal)

3. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Berbasikal)

4. Nur Aisyah Mohd Zubir (Berbasikal)

5. Khairulnizam Mohd Afendy (Pelayaran)

6. Nur Shazrin Mohd Latif (Pelayaran)

7. Mohamad Aniq Kasdan (Angkat Berat)

8. Johnathan Wong (Menembak)

9. Ariana Nur Dania Mohd Zairi (Memanah),

10. Bertrand Rhodict Lises (Terjun)

Berita Harian X