Selasa, 30 April 2024 | 12:13pm
Aksi Go Pei Kee (kanan) dan Teoh Mei Xing ketika menentang pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai pada aksi peringkat kumpulan Piala Uber semalam. - AFP
Aksi Go Pei Kee (kanan) dan Teoh Mei Xing ketika menentang pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai pada aksi peringkat kumpulan Piala Uber semalam. - AFP

Skuad Piala Uber sasar Australia jadi penawar duka

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah tersingkir awal daripada saingan Piala Uber 2024, kapten skuad negara, Teoh Mei Xing tetap menaruh harapan supaya rakan sepasukannya tampil dengan aksi terpuji pada aksi terakhir Kumpulan B menentang Australia, esok.

Mei Xing turut mengakui Australia pada kali ini membariskan pemain yang berkualiti seperti beregu mereka, Setyana Mapasa-Angela Yu, gandingan yang berkemungkinan bakal menjadi lawan di gelanggang bersama gandingannya Go Pei Kee.

"Sudah tentu Mapasa seorang pemain berpengalaman dan Australia juga membawa Angela... dia pun pemain yang bagus dan kalau tak silap saya mereka beberapa pernah memasuki final kejohanan antarabangsa.

"Jadi mereka agak kuat dan harapnya kami dapat memberikan saingan dengan mereka juga nanti," kata Mei Xing yang tewas kepada gandingan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 10-21, 14-21, semalam.

"Kami sudah bermain dengan sehabis baik tetapi kemampuan kami agak jauh dengan mereka. Jadi dalam latihan selepas ini kami perlu pertingkatkan lagi. Kalau kita menentang pemain di kelompok lebih tinggi, mereka ini mempunyai kombinasi dan kelajuan yang lebih baik.

"Dalam latihan kami sebelum ini pun, kami tak biasa dengan kelajuan sebegini," kata Mei Xing.

Malaysia tewas dalam kedua-dua perlawanan kumpulan setakat ini apabila kecundang di tangan Taiwan 1-4 pada aksi pembuka tirai sebelum dikecewakan Thailand 0-5.

Dalam pada itu, pemain perseorangan negara, K Letshanaa mahu memberikan yang terbaik untuk menyumbang mata kepada pasukan negara pada pertemuan menentang Australia.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk bermain selain cuba mencatatkan kemenangan ke atas mereka (Australia). Menang ataupun kalah, kami tetap kena berikan yang terbaik," kata Letshanaa.

Pada kempen dua tahun lalu di Bangkok, Thailand, skuad Piala Uber menamatkan saingan di peringkat kumpulan apabila menduduki tempat ketiga yang turut disertai Thailand, Denmark dan Mesir.

Berita Harian X